Chinese
Color
Orange
Black
Blue
Purple
Green
Deep Blue
Laman Utama
Forum
Fokus
Semasa
Gosip Socmed
Infozon
tularsuara
Search
529
View
0
Reply

[KREATIF] Negara Yang Bahaya - FMT

[Copy link]

Author: Aking       Show all posts   Read mode

Author
Post time 21-11-2020 04:03 PM | Show all posts |Read mode


Syed Farid Alatas


“Negara” terdiri daripada institusi-institusi yang memerintah seperti badan eksekutif, perundangan, dan kehakiman. Negara mempunyai makna dan peranan yang berbeza, berdasarkan pendekatan pengkaji dan pemerhati politik.

Menurut pendekatan pluralis, negara terdiri daripada institusi-institusi yang berkhidmat untuk seluruh masyarakat dan tidak menyebelahi mana-mana pihak. Kuasa politik dikatakan dibahagikan seimbang antara pelbagai kelompok pendesak. Umpamanya, negara tidak bersikap berat sebelah kepada kelas pemodal atau kapitalis dibandingkan dengan kelas buruh. Sifat negara yang sedemikian rupa akan menyelesaikan pertentangan dan pertikaian yang muncul antara kelompok-kelompok tertentu mengikut cara yang memenuhi kepentingan semua pihak.

Pendekatan pluralis menolak gagasan bahawa terdapat sekelompok orang yang mempunyai kuasa begitu besar sehingga menguasai segala bentuk kehidupan politik dan ekonomi. Dalam pendekatan ini, negara itu dianggap sebagai arena persaingan politik yang berkecuali.

Bagi pihak lain, sarjana Marxis berpendapat kuasa politik dipusatkan di tangan kelas pemodal. Yang membentuk elit negara pada umumnya berasal daripada pimpinan syarikat-syarikat terbesar. Ini bermakna negara itu dikuasai kepentingan kelas kapitalis.

Menurut Marx dan Engels, “eksekutif negara moden hanya merupakan suatu jawatankuasa untuk menguruskan hal ehwal bersama kelas borjuis seluruhnya”. Menurut pendekatan ini, dalam sistem ekonomi kapitalis, negara mempunyai 3 fungsi utama, iaitu, pengabsahan, penindasan, dan pengumpulan modal. Negara dianggap sebagai alat kelas kapitalis semata-mata.

Kedua-dua pendekatan ini tidak mengambil perhatian tentang peranan secara langsung negara dalam proses pembangunan masyarakat. Pendekatan ini berasaskan pengalaman di Barat apabila negara hanya membekalkan prasarana seperti rangkaian pengangkutan dan komunikasi, dan mengaturkan ekonomi melalui dasar-dasar fiskal dan kewangan, kawalan pertukaran, dan dasar-dasar penstabilan ekonomi makro selainnya.

Kepentingan pemerintah
Pada pihak lain, di dunia sedang membangun kita dapati negara terlibat secara langsung dalam proses pengumpulan modal. Kepentingan peribadi elit-elit dan pegawai-pegawai negara dimajukan dengan menggunakan jawatan awam. Ini membawa kita kepada persoalan bahaya negara.

Bidang sosiologi politik dan sains politik mempunyai kecenderungan menegaskan keabsahan negara sehingga mengetepikan pertimbangan tentang bahaya yang disebabkan oleh wujudnya anasir jenayah yang seringkali menghinggapi negara.

Sepanjang yang menyangkut tingkah laku jenayah, yang sepatutnya diperhatikan adalah rasuah. Setakat mana sesuatu negara itu merupakan kuasa yang berbahaya disebabkan oleh rasuah berasaskan kepada perbezaan antara kepentingan awam dan peribadi.

Dalam kedua-dua tamadun Islam dan Barat faham kepentingan rakyat (umma, patria) diamalkan. Umpamanya, Ali Abi Talib merujuk kepada penerimaan suapan dan nepotisme sebagai kesalahan. Untuk Cicero, kepentingan patria menggantikan kepentingan peribadi dan yang berdasarkan kepada pertalian kekeluargaan.

Perbezaan antara kepentingan awam dengan kepentingan peribadi jauh daripada apa yang terdapat di kebanyakan negara hari ini. Terdapat kelaziman klientelisme dan nepotisme yang menyaksikan kepentingan peribadi diutamakan melalui rasuah, iaitu, dengan memperalatkan institusi-institusi negara. Rasuah terdapat di semua negara tetapi bukan semuanya negara dikuasai oleh daya rasuah sehingga kehidupan sehari penduduknya dipengaruhi secara negatif.

Jenis negara dalam mana rasuah merupakan cara utama modal dikumpulkan digelar sebagai kleptokrasi (kleptomani bermaksud mempunyai tabiat suka mencuri). Dalam kleptokrasi, ramai pegawai negara berfungsi sebagai kleptokrat yang melibatkan diri mereka dalam pelbagai kegiatan penyuapan dan nepotisme.

Apabila negara itu dihinggap rasuah sehingga gejala itu menjadi alat pengumpulan modal utama, ini mengisyaratkan kemunculan negara kleptokratis.

Bahayanya negara
Ini membawa kita kepada gagasan bahawa negara itu tidak semestinya menjadi sesuatu yang sah dan mendatangkan manfaat. Gagasan seumpama ini dapat diperoleh daripada karya 2 orang sarjana lampau. Keduanya ada hubungan dengan Sepanyol, tetapi daripada latar belakang kebudayaan dan konteks sejarah yang amat berbeza.

Abu Zaid Abd al-Rahman ibn Muhammad ibn Khaldun lahir pada 732 AH (1332 AD) di Tunis. Nenek-moyang beliau meninggalkan Ishbili di Sepanyol semasa penaklukan negara itu dan menetap di Afrika Utara sekitar seabad sebelum kelahiran Ibn Khaldun.

Menurut Ibn Khaldun, “keputusan pemerintah ghalibnya tidak adil, kerana keadilan yang sejati terdapat hanya di khulafa yang sah yang berlanjutan untuk masa yang singkat sahaja”. Ketidakadilan ini difahami sebagai terdiri daripada bukan sahaja pembeslahan harta dan wang, tetapi termasuk juga pengenaan cukai yang tidak diwajibkan oleh syariah.

Menulis lebih daripada 500 tahun kemudian, ahli falsafah dan pemimpin cendekiawan pemerintah Republikan Sepanyol, Jose Ortega y Gasset, mengatakan dalam bab yang bertajuk “Yang paling bahaya, negara”, bahawa campur tangan negara merupakan faktor yang paling bahaya yang mengancam tamadun.

Pada akhir kurun ke-18, urusan negara menjadi agak terbatas.

Sepanjang yang menyangkut ketenteraman dan pentadbiran awam, negara bersifat lemah. Tetapi ketidakseimbangan antara kuasa sosial dan kuasa negara menjelma pada abad ke-19 apabila negara menjadi jentera dahsyat dan hebat dan mengakibatkan pembudakan masyarakat dan birokratisasi kehidupan manusia. Dengan kemunculan kelas buruh dan penambahan dalam tingkah laku jenayah yang berikutan, kewibawaan negara bertambah luas. Ortega memberi suatu amaran yang amat relevan untuk kita di Malaysia.

Di kebanyakan ekonomi politik Asia Tenggara, bentuk kapitalisme yang wujud merupakan kapitalisme semu. Istilah semu itu membawa sama makna dengan “palsu”, “tidak tulen” dan “tidak sejati”.

Kapitalisme semu
Kita dapat memahami kapitalisme semu sebagai kapitalisme yang tidak berasaskan kepada sifat keusahawanan.

Seorang usahawan merupakan pemodal yang bukan hanya melabur kembali untung mereka, tetapi melihat dan mencari peluang seperti cara pengeluaran, pemasaran keluaran, dan sumber penawaran yang baru.

Dalam kapitalisme semu, kelas pemodal bergantung pada negara untuk pelbagai bentuk bantuan seperti pemberian insentif, perlesenan, pelindungan, pembekalan dana bank kerajaan, dan usaha dengan perusahaan negara.

Pemodal-pemodal seumpama ini menjadi klien kepada penaung negara. Hubungan antara penaung dan kliennya seringkali merupakan hubungan antara kleptokrat dan penerima bantuan atau pemburu rent.

Bidang sosiologi politik dan ilmu politik bercirikan suatu kecenderungan terhadap menegaskan keabsahan negara sehingga pertimbangan sifat bahayanya disebabkan wujudnya anasir jenayah disingkirkan.

Tetapi, dalam kes kebanyakan negara di Dunia Ketiga dan dunia Islam, bidang yang lebih sesuai untuk membincangkan dan menghuraikan negara adalah kriminologi dan bukan sosiologi atau ilmu politik.

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register | Facebook Login

Points Rules

 CARI App
Get it FREE Google play
 Twitter
 Instagram
cari_infonet
FOLLOW
Copyright © 1996-2020 Cari Internet Sdn Bhd All Rights Reserved(483575-W)
Private Cloud provided by IPSERVERONE
Advertise with us
Quick Reply To Top Return to the list